SIRI PENGKISAHAN SEJARAH NEGERI PERLIS KALI KEDUA 1993 "ZAMAN JEPUN DI PERLIS" Kertas Kerja II (Pendidikan)
Oleh- ENCIK WAN DIN CHE MAT
1. PENDAHULUAN - Satu perkara yang perlu difahami mengenai tajuk rencana ini ialah bahawa negeri pada zaman itu terletak di bawah pemerintahan tentera. Dalam semua aspek pentadbiran adalah pentadbiran tentera. Demikian juga dengan pendidikan yang akan dibicarakan di bawah ini.
2. PENDIDIKAN FORMAL - Saya maksudkan dengan pendidikan formal ialah pendidikan kanak-kanak di sekolah rendah. Sebelum Perang Dunia II tidak ada sekolah Inggeris dan sekolah menengah. Pada masa peringkat awal kedatangan tentera Jepun, semua sekolah, jabatan kerajaan dan tempat perniagaan tutup kerana penduduk bandar/pekan dan tempat-tempat lain yang dijangka dilalui oleh tentera Jepun, lari ke tempat-tempat yang dijangka selamat.
Setelah Semenanjung Tanah Melayu termasuk Singapura jatuh ke tangan tentera Jepun, keadaan menjadi tenang sedikit kerana tidak ada lagi peperangan di Semenanjung. Pentadbiran negeri telah dipulihkan. Pegawai-pegawai kerajaan termasuk guru-guru yang menjadi orang pelarian dipanggil balik dan bertugas seperti biasa. Pada masa ini sebilangan kakitangan kerajaan telah meninggalkan jawatan mereka, iaitu termasuk guru-guru dan membuat perniagaan kerana pendapatan daripada gaji sahaja tidak mencukupi. Sebilangan pula menjalankan perniagaan pada sebelah petang lepas bertugas pada sebelah pagi.
Walau bagaimanapun sekolah-sekolah berfungsi seperti biasa iaitu seperti sebelum perang meletus. Yang berbeza ialah kandungan sekatan pelajarannya. Mana-mana fakta yang mengagung-agungkan orang putih digantikan dengan fakta-fakta mengagungkan orang Jepun.
Mata pelajaran yang amat diutamakan ialah bahasa Jepun, Senaman clan Nyanyian. Di mana-mana yang boleh, semangat "Nippon Syeisyin" disemaikan.
Rancangan kerajaan Jepun pada masa itu ialah hendak menyatukan negara-negara yang ditaklukinya menjadi sebuah negara gergasi yang dinamakan Asia Timur Raya. Melalui bimbingan budaya seperti yang tersebut itu adalah mudah bagi mereka mencapai maksud kerajaan Jepun.
2.1 Bahasa Jepun
Untuk mengembangkan bahasa Jepun, guru-guru dari setiap sekolah dimestikan datang ke Kangar (Sekolah Melayu Kangar) mempelajari bahasa Jepun beberapa hari dalam seminggu, kemudian balik mengajarkannya kepada kanak-kanak dan guru-guru lain di sekolah.
2.2 Senaman
Seperti pengembangan bahasa Jepun juga guru-guru diajar senaman untuk diajarkan pula di sekolah-sekolah. Senaman cara Jepun ini ialah senaman jenis mudah dan ringan yang dilatihkan kepada kanak-kanak cara beramai-ramai. Setahun sekali sekolah mengambil bahagian bersenam beramai-ramai di Kangar, menjadikan satu pertunjukan yang menarik.
2.3 Nyanyian
Bangsa Jepun ialah satu bangsa yang amat menyayangi kanak-kanak. Banyaklah lagu nyanyian kanak-kanak telah diajarkan, bertemakan keindahan alam, bintang dan bulan serta semangat cintakan bangsanya. Di antara lagu yang saya masih ingat namanya ialah :
Lagu Ai Koku No Hana
Lagu Ki Mi Gayo (iaitu Lagu Kebangsaan)
Malangnya, saya tidak dapat mengingati akan senikata lagu-lagu itu.
2.4 Sukan
Sukan/olahraga juga diutamakan. Jika sukan dianjurkan pemenang-pemenang dihadiahi gula. Sebabnya, tidak ada benda lain untuk diberi hadiah.
Di antara jenis pertandingan yang diperkenalkan ialah :
1. Pertandingan menjatuhkan bendera
2. Pertandingan perang
3. Pertandingan tarik tali (cara Jepun)
3. SEMANGAT NIPPON SYEISYIN - Ialah semangat ketahanan bangsa Jepun. Adalah dikatakan bahawa semangat inilah punca kemajuan bangsa Jepun. Dengan mempunyai semangat ini mereka rajin dan kuat bekerja, tidak takut mati, rela berkorban nyawa kerana taat setia kepada Maharajanya, Maharaja Tennoheka. Orang-orang Jepun menganggap Maharajanya sebagai Tuhan mereka.
Semangat ini disemaikan kepada orang-orang tempatan terutama kanak-kanak di sekolah dan belia-belia. Belia-belia dihantar berlatih membina semangat di 'Korincho' atau maktab. Mereka dilatih ketahanan fizikal dan mental untuk dipanjangkan kepada orang-orang tempatan. Peresapan semangat ini telah mengubah sikap orang Melayu daripada negatif ke positif.
4. AGAMA - Pada masa pendudukan Jepun, saya perhatikan orang-orang Jepun di sini tidak menganuti sebarang agama. Mereka beragama kepada Maharaja mereka sahaja. Raja mereka ialah Tuhan mereka. Pada tiap-tiap pagi mereka hormat kepada Maharaja Jepun. Orang tempatan dianggap rakyat Maharaja Jepun, maka kenalah juga mengambil bahagian dalam upacara ini. Tetapi Jepun tidak melarang rakyat tempatan berbuat amalan mengikut agama masing-masing.
5. PENDIDIKAN MASYARAKAT - Pada zaman pemerintahan tentera, masyarakat tidak terdidik melalui undang-undang negeri, melainkan terdidik menurut cara tentera. Melalui pendidikan cara tentera ini terdapat sifat-sifat atau keadaan yang baik dalam masyarakat, antaranya adalah seperti berikut ;
- Rakyat terdidik cara memberi hormat/beradab dan bersopan santun.
- Aman. Tidak ada pencuri penyamun.
- Sifat rajin. Misalnya membuat barang daripada bahan buangan (membuat sarung botol daripada jerami).
- Pandangan hidup rakyat menjadi lebih luas. Dipercayai bahawa sifat berpandangan luas ini telah menjadi satu punca kita telah melawan Malayan Union yang telah dikemukakan oleh Kerajaan British.
Keadaan-keadaan yang tidak baik ada juga.
PENUTUP
Apa-apa yang saya rencanakan di atas ini ialah atas tanggungjawab saya sendiri basil pemerhatian dan pengalaman saya pada zaman Jepun. Orang lain yang hidup sezaman mungkin mempunyai pendapat dan pandangan berlainan. Oleh itu bagi tujuan mencipta sejarah, pandangan dan pendapat yang berlainan ini adalah berfaedah dibincangkan dan dibuat keputusan.
SUMBER ARTIKEL
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 6, 1994
