ALAT-ALAT MENANGKAP IKAN AIR TAWAR
Oleh : WAN NAN WAN MAHMUD (FAWANA)
Ikan air tawar biasanya hidup dalam paya, sawah, sungai, tali air dan juga kolam yang lama atau kolam semulajadi di kawasan-kawasan tertentu. Biasanya ikan air tawar akan membiak di tempat-tempat air bertakung atau yang tersimpan lama. Lagi lama air bertakung akan terdapat lebih banyak ikan dan besar pula saiz ikan-ikan tersebut.
Di negeri Perlis tidaklah begitu banyak jenis ikan air tawar yang boleh didapati. Ini barangkali disebabkan tidak wujudnya sungai yang lebar atau besar seperti di negeri-negeri lain di Malaysia. Ikan yang biasa didapati ialah ikan haruan, keli, puyu (sempuyu), ikan putih, teberau, lampam, baung, sepat benua, sepat biasa dan udang galah.
Ikan-ikan tersebut ditangkap dengan menggunakan beberapa jenis alat menangkap ikan air tawar yang biasa digunakan oleh penduduk negeri ini pada masa dahulu. Namun, boleh dikatakan alat-alat tersebut sebahagiannya masih digunakan hingga kini.
SERKAP
Serkap ialah alat menangkap ikan bagi tempat-tempat yang airnya cetek seperti di sawah, tali air dan tanah paya yang airnya tidak sampai paras lutut.
BAHAN
Bagi menyiapkan sebiji serkap diperlukan beberapa jenis bahan seperti :
-
Bilah buluh
-
Akar / tali penjalin (tali pengikat)
-
Bilah penyengkang / penahan
-
Rotan
-
Getah (luar) tayar basikal

Serkap
CARA MEMBUAT
Bilah buluh diraut seakan-akan nipis lebih kurang sebesar jari kelingking. Panjangnya antara 20” – 24” (mengikut saiz sama ada untuk digunakan oleh kanak-kanak atau orang dewasa). Bilah-bilah yang telah siap diraut ini akan diikat (dijalin) dengan akar atau tali pada bilah penyengkang (penahan) yang dibentuk bulat dan dipasangkan pada tengah serkap tersebut (garis pusat bulatan ini mengikut saiz yang dikehendaki). Jumlah bilah buluh juga tidak tentu. Ianya mengikut bentuk dan saiz serkap yang hendak dibuat; biasanya antara 45 – 60 bilah.
Jarak antara bilah dengan bilah buluh yang lain juga mengikut saiz yang dikehendaki. Jika digunakan untuk menangkap ikan besar sahaja, dijarangkan sedikit. Jika untuk menangkap semua jenis ikan (besar atau kecil) dijalin (diikat) agak rapat sedikit (lihat gambar). Bilah penyengkang (penahan) biasanya diperbuat daripada buluh, rotan, akar ataupun besi. Berbentuk bulat sebesar jari kelingking.
Apabila siap dijalin (diikat) pada penyengkang (penahan), akan dijalin (diikat)pula pada bahagian bawah (mulut bahagian bawah) serkap tersebut. Akar yang diperlukan bagi bahagian ini lebih besar. Tujuannya ialah supaya mulut serkap itu terbuka luas. Akar yang digunakan ialah “akar jalin belat” yang didapati di dalam hutan atau belukar. Akar tersebut kuat dan tahan lebih lama serta tidak mudah reput. Jalinan (ikatan) ini dimulakan lebih kurang 1” – 1½ “ dari hujung bilah buluh bahagian (mulut bahagian bawah) serkap itu. Kemudian ditengah-tengah antara jalinan (ikatan) bawah dengan penyengkang (penahan) tadi dijalin (diikat) sekali lagi. Tetapi kali ini dengan akar yang lebih kecil sedikit. Tujuannya ialah supaya serkap tersebut menguncup (kecil bulatannya).
Demikian di tengah-tengah antara penyengkang (penahan) dengan bahagian atas serkap, akan dijadikan kecil supaya jarak antara bilah buluh itu lebih kecil (menguncup) daripada yang di bawah. Dan, pada bahagian atas (bahagian mulut atas) diikat pula satu lagi penyengkang (penahan) bertujuan supaya mulut bahagian atas itu kuat (tidak bergoyang). Pada hujung mulut bahagian atas inilah ditutup dengan tayar (tayar luar basikal) lalu dijalin (diikat) dengan satu sistem jalinan (ikatan) yang tersendiri (lihat gambar) hingga menjadi sebiji serkap yang kemas dan sempurna.
CARA MENGGUNAKANNYA
Mulut serkap bahagian bawah akan memerangkap ikan. Melalui mulut bahagian atas digunakan sebagai jalan (pintu) untuk menangkap ikan yang terperangkap dalam serkap tersebut. Biasanya ikan yang terperangkap akan ditangkap dengan menggunakan tangan (sama ada kiri atau kanan).
TAUT
Taut ialah alat untuk memancing ikan. Tetapi memancing dengan menggunakan taut seseorang itu tidak perlu memegang batang (joran). Taut akan dipacak pada tebing sungai atau permatang (batas) sawah dan umpan pada mata taut (kail) direndamkan ke dalam air.
Biasanya antara 50 – 100 batang taut akan digunakan pada setiap kali menangkap ikan.
BAHAN
-
Bilah buluh atau anak kayu kemunting
-
Tali / benang
-
Mata kail
CARA MEMBUAT TAUT
Bilah buluh (batang taut . joran) diraut kecil dan dinipiskan sedikit di bahagian hujungnya (bahagian yang hendak dipasang tali kail supaya supaya lembut dan senang bergoyang). Jika anak kayu, tidak perlu diraut, cuma dibuangkan kulitnya sahaja. Panjangnya lebih kurang 36” – 40”. Pada bahagian bawah ditajamkan supaya mudah dicucuk ke dalam tanah.
Pada hujung batang taut (joran) diikatkan dengan seurat tali / benang dengan panjangnya lebih kurang 24” – 30” manakala hujung tali tersebut dipasang sebentuk mata kail yang sesuai. Pada mata kail inilah dipasang umpan seperti katak atau cacing yang dipotong pendek lalu digantung ke dalam air.
Bahagian perdu (bawah) batang taut (joran) yang dipertajamkan sedikit ditanamkan (cucuk) ke dalam tanah (ditebing sungai atau tebing permatang sawah). Dicucuk mengikut jarak tertentu sehingga habis semua taut yang ada. Ikan yang datang akan memagut umpan yang tergantung di dalam air dan akan berjangkit pada mulutnya.

SUMBER ARTIKEL
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 8, 1996
