Accessibility Tools

SEJARAH SEKOLAH MENENGAH SYED SAFFI SIMPANG EMPAT, PERLIS

SEJARAH
SEKOLAH MENENGAH SYED SAFFI
Simpang Empat, Perlis

Oleh : NASIR ALI

Lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang: begitu bunyi pepatah Melayu. Namun, tiadalah sekarang, kalau tiada masa lalu. Begitulah dengan Sekolah Menengah Syed Saffi, Simpang Empat, Perlis.

Wajah sekolah tersebut telah banyak berubah tetapi sejarah penubuhannya pasti menjadi dokumen yang penting dalam lipatan sejarah pendidikan negeri Perlis khasnya, Malaysia amnya. Dan pasti menjadi bahan penyelidikan bagi generasi baru nanti.

Menyingkap kembali ke era 40-an dan 50-an, tapak sekolah ini sebenarnya adalah sekeping tanah rang dan sebahagiannya adalah tanah bendang. Ketika musim panas, kawasan tanah lapang di tapak ini menjadi medan untuk anak-anak bermain layang-layang dan disebelah malamnya akan menjadi tapak persembahan kebudayaan rakyat setempat.

Menurut seorang warga Simpang Empat, Encik Ajib bin Md. Dai, penganjur persembahan kebudayaan rakyat itu akan membuat dinding di sekeliling kawasan persembahan dengan menggunakan daun kelapa kering. Pada sebelah malamnya diadakan beberapa persembahan rakyat seperti Makyong, Dikir dan Wayang Kulit (yang masih kuat pengaruh Siam dalam persembahannya). Tapak itu kemudiannya dibeli oleh Tuan Haji Ahmad bin Hassan, lalu dijadikan kampung dan tanah sawah padi.

Dari sudut geografi, tapak itu terletak di daerah Bunga Emas, Simpang Empat kira-kira 13 kilometer dari Bandar Kangar. Pada masa dahulu terdapat ban tali air  di hadapan sekolah itu. Kini ia sudah menjadi jalan raya yang menghubungkan Bandar Kangar dengan Alor Setar. Menurut cerita, Bunga Emas diberi sewaktu negeri Perlis masih di bawah jajahan Siam. Kampung ini menjadi tempat persinggahan anggota rombongan yang membawa Bunga Emas ke Thailand. Di situ, anggota rombongan berehat dan mandi-manda. Di sebelah malamnya sambil beristirehat, mereka menikmati persembahan Makyong. Sekuntum bunga emas dipercayai terjatuh di situ dan dengan itu kampung tersebut dinamai Bunga Emas.

Menurut Encik Halifah b. Haji Ahmad, anak kepada tuan punya tanah tapak sekolah, kawasan seluas sembilan relung tersebut adalah kepunyaan ayah beliau, Haji Ahmad b. Haji Hassan yang dijadikan kampung dan sawah padi. Ia kemudiannya diambil alih oleh kerajaan untuk tujuan pembinaan sekolah menengah. Kerajaan pada awalnya bersetuju membayar RM1,000.00 serelung sebagai pampasan tetapi setelah dibuat rayuan, baginda Tuanku Raja Perlis telah memberi perintah agar dibayar RM2,000.00 serelung sebagai pampasan.

 

En. Halipah Hj. Ahmad, anak tuan tanah tapak Sekolah Menengah Syed Saffi, Simpang Empat, Perlis.

 

Bangunan Pejabat Pentadbiran Sekolah Menengah Syed Saffi, Simpang Empat, Perlis.

 

Maka terbinalah tiga blok bangunan dua tingkat. Blok pertama dijadikan Pejabat, Bilik Guru dan beberapa Bilik Darjah manakala blok kedua pula dikhaskan untuk Makmal Sains, Bengkel Seni Perusahaan serta Bilik Masakan dan Jahitan. Sebuah bangunan setingkat untuk kantin juga dibina di bahagian hadapan sekolah ini (sekarang bangunan kantin itu dijadikan Kedai Koperasi). Turut dibina ialah sebuah makmal sains dan dua buah rumah guru di bahagian belakang kawasan sekolah ini.

Semasa proses pembinaan sekolah tersebut, kerajaan negeri Perlis diterajui oleh Dato’ Sheikh Ahmad manakala Pengarah Pendidikan Perlis pula ialah Encik Ariffin Mat Nam. Pada peringkat awalnya, sekolah ini mempunyai 183 orang pelajar dan 10 orang tenaga pengajar. Sementara itu, Pengetuanya ialah Encik Nor Ahmad Mokhtar Hanif.

Sebelum menduduki bangunan baru itu, pelajar-pelajar Sekolah Menengah Simpang Empat menumpang belajar di bangunan Sekolah Kebangsaan Simpang Empat (sekarang ini dijadikan pusat kegiatan guru dan asrama desa). Guru Besar pertama Sekolah Menengah Simpang Empat ialah Encik Hassan Sulaiman.

Setelah siap pembinaannya, bangunan baru itu diduduki pada tahun 1966. Pengerusi Lembaga Sekolah Menengah Simpang Empat ialah Dato’ Ahmad Musa (YB Sanglang). Bangunan sekolah itu dirasmikan oleh DYMM Yang DiPertuan Agong Almarhum Tuanku Sultan Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin, Yang Dipertuan Agong Malaysia Keempat. Ketika itu Encik Khir Johari menjadi Menteri Pendidikan Malaysia.

Pada tarikh perasmiannya, sekolah itu dikenali sebagai Sekolah Menengah Syed Saffi. Ia ditadbir oleh lapan orang pengetua. Jika ditinjau dari aspek perubahan, ternyata banyak perubahan infrastruktur berlaku demi memantapkan institusi tersebut.

Demikian secebis peristiwa yang tersimpan dalam lipatan sejarah negeri Perlis kerana ia telah berjasa dalam melahirkan pelajar yang cemerlang dan ternama di seluruh Perlis atau Malaysia.

 

RUJUKAN

Bunga Emas, (1984) Sekolah Menengah Syed Saffi, Simpang Empat, Perlis.

 

SUMBER ARTIKEL

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 8, 1996