Accessibility Tools

PERKEMBANGAN SISTEM PERHUBUNGAN DARAT DI PERLIS

PERKEMBANGAN SISTEM PERHUBUNGAN DARAT DI PERLIS

Oleh : ADNAN JAHAYA

Lebih seabad lalu, hutan meliputi hampir segenap ruang negeri Perlis dan tiada jalan perhubungan yang lebih selesa kecuali sungai-sungai utama dan lorong-lorong kecil yang tercipta daripada himpunan kudrat manusia.

Ketika sungai menjadi alat perhubungan penting terutama sebagai laluan para pedagang dan pemimpin negeri, lorong-lorong kecil terus dibina bagi memudahkan perhubungan antara pekan dan kampung-kampung di seluruh negeri ini. 

Lorong-lorong kecil kemudiannya berkembang menjadi jalan-jalan laterit yang lebih lebar dan digunakan secara meluas oleh kereta lembu dan basikal yang menjadi alat pengangkutan penting ketika itu. Bagaimanapun jalan laterit masih belum menjanjikan keselesaan kerana ia mudah becak ketika hujan dan berdebu ketika panas.

Dan jika ada tempat yang boleh ditunjukkan sebagai tidak mempunyai jalan raya di Perlis, sudah pasti ada tangan yang menuding ke puncak-puncak bukit atau Pulau Batu Layang.

Ketika teknologi mulai berkembang, jalan-jalan laterit berubah wajah menjadi jalan-jalan berturap yang bukan sahaja lebih luas dan menarik malah mampu mengatasi masalah becak atau debu. Raja Perlis ketiga, Almarhum Tuanku Syed Saffi Ibni Syed Alwi Jamalullail disifatkan sebagai pengasas pembangunan negeri Perlis di akhir abad ke-19 dan beliau adalah perintis kepada pembinaan jalan raya di negeri ini.

Dalam tempoh lapan tahun pemerintahan baginda bermula 1897, Tuanku Syed Saffi telah merancang pembinaan jalan raya dan tali air yang lebih sempurna melalui sistem kerahan tenaga. 

Beberapa jalan raya utama dibina pada zaman pemerintahan baginda seperti Jalan Tebing Tinggi, Jalan Arau dan Jalan Sanglang masih kekal sehingga kini meskipun tidak ramai yang menyedari tentang sejarah silamnya.

Semua jalan berkenaan yang berpusat di Bandar Kangar disifatkan sebagai jalan raya tertua di negeri ini. Bagaimanapun berdasarkan fakta sejarah, ada yang berpendapat Jalan Tebing Tinggi adalah jalan raya paling tua di negeri ini.

Ini kerana, suatu ketika dahulu Tebing Tinggi adalah sebuah pelabuhan dagang utama bagi negeri Perlis malah pernah digunakan sebagai pelabuhan untuk membawa bakal Haji ke Tanah Suci. Banyak kapal berlabuh di Tebing Tinggi yang ketika itu kenali sebagai Pengkalan Kapal terutama untuk urusan perdagangan.

Memandangkan kepentingan Tebing Tinggi sebagai pelabuhan utama ketika itu, jalan raya yang menghubungkan Kangar dan Tebing Tinggi dianggap paling awal dibina di negeri ini. Jalan Tebing Tinggi kini diberi nama Jalan Raja Syed Saffi bagi mengenangkan jasa Raja Perlis yang ketiga itu.

Mengikut rekod Jabatan Kerja Raya antara jalan-jalan yang paling awal dibina dan diselenggarakan ialah Jalan Kaki Bukit, Jalan Tebing Tinggi, Jalan Kuala Perlis, Jalan Santan dan Jalan Arau.

Para pegawai jabatan itu yang berkhidmat sebelum negara mencapai kemerdekaan turut mencatatkan rekod lawatan mereka ke jalan-jalan berkenaan pada tahun 1954 dan yang pasti jalan-jalan berkenaan wujud lebih awal dari itu. Berdasarkan buku “Perlis Indera Kayangan: Sejarah Pembentukan Sebuah Negeri Berdaulat” yang ditulis oleh Ahmad Ismail dan Yazid Mat, proses pemodenan jalan raya di Perlis bermula sekitar tahun 1913.

Pada tahun berkenaan, kira-kira 20 kilometer jalan raya telah diturap dengan sempurna manakala 32 kilometer lagi masih merupakan jalan raya laterit.

Sejak itu, pembangunan jalan raya di Perlis kian berkembang seiring dengan pertumbuhan pesat negeri ini. Sehingga kini, rangkaian jalan raya yang merupakan salah satu kemudahan asas bagi negeri Perlis adalah sepanjang kira-kira 500 kilometer.

Paling istimewa, jalan raya bukan sahaja tertumpu di kawasan bandar dan pekan malah setiap kampung di negeri ini seluas 810 kilometer turut menikmati kemudahan itu.

Tidak ada kampung tidak boleh dimasuki kenderaan meskipun ada di antaranya dianggap begitu terpencil dan tidak berkepentingan. Sebagai contoh, kampung terpencil seperti Wang Kelian yang suatu ketika dahulu begitu terpinggir kini turut menikmati kemudahan tersebut.

Para penduduk kampung di pinggir sempadan antarabangsa Malaysia-Thailand itu kini lebih selesa untuk berhubungan dengan dunia luar sejak pembinaan sebatang jalan raya antara kampung itu dengan Pekan Kaki Bukit. Meskipun jalan raya itu merentasi sebuah bukit, ia tidak menimbulkan masalah bagi kenderaan berenjin melaluinya.

Sejak terbinanya jalan raya berkenaan, kesengsaraan yang dialami oleh para penduduk kampung itu telah terubat. Terowong semula jadi  di Gua Kelam yang sebelum ini menjadi laluan utama mereka kini menjadi salah satu destinasi pelancongan utama bagi negeri ini.

Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Shahidan Kassim  berkata kerajaan negeri meletakkan tanggungjawab kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi menguruskan pembangunan kampung masing-masing termasuk penyediaan dan penyelenggaraan jalan-jalan kampung.

Sesungguhnya jalan raya memberi sumbangan yang besar kepada perkembangan sektor industri, perumahan dan perniagaan di samping meningkatkan hubungan dengan negara jiran; Thailand.

Pada masa ini, dua pintu masuk ke negara ini melalui Thailand ialah melalui jalan raya iaitu Padang Besar dan Wang Kelian malah terdapat cadangan untuk mewujudkan satu lagi pintu masuk melalui jalan raya iaitu di Bukit Puteh.

Pastinya kerajaan negeri akan menjadikan pembinaan jalan raya sebagai agenda berterusan ke arah menggerakkan pembangunan negeri ini dan sehingga ini boleh dikatakan tidak ada tempat yang tidak boleh dihubungi melalui jalan raya.

Dan jika ada tempat yang boleh ditunjukkan sebagai tidak mempunyai jalan raya di Perlis, sudah pasti ada tangan yang menuding ke puncak-puncak bukit atau Pulau Batu Layang.

 

SUMBER ARTIKEL

Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 8, 1996