Tokoh Pemantun Perlis
Oleh : MOKHTAR A.K

Sdr. Wan Khazim dilahirkan di Pengkalan Assam, Kangar, Perlis pada tahun 1933. Berpendidikan Sekolah Melayu Bintong, Sekolah Melayu Chuping dan kemudiannya ke Sekolah Arab Alawiyah, Arau hingga 3 Senawi. Terpaksa berhenti sekolah kerana menguruskan kerja-kerja di rumah, kerana bapanya telah ditangkap dan ditahan oleh Penjajah Inggeris kerana menuntut kemerdekaan melalui Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pimpinan Allahyarham Dr. Burhanuddin. Bapanya ditahan selama 5 tahun. Beliau akhirnya berhijrah ke Singapura dan menyambung pelajaran ke Remein English School Singapore dalam aliran Inggeris. Ketika beliau di Singapura beliau banyak terlibat secara langsung dalam filem dan turut berlakon dalam 8 buah filem.
Beliau juga terlibat secara langsung dalam pelbagai seni kebudayaan. Antara bidang yang diceburi olehnya ialah berlakon, sekaligus menjadi bintang filem di Show Brothers Singapura, menjadi penyanyi, jaguh pantun peringkat Daerah, Negeri dan Kebangsaan serta dinobatkan sebagai johan pantun peringkat Kebangsaan. Beliau juga ahli berpidato, penulis skrip drama dan bangsawan, penyair dan penari. Dalam lapangan bersilat pula, beliau adalah seorang Guru Silat. Beliau juga seorang Ketua Penerangan UMNO, AJK UMNO, AJK JKKK Kawasan Chuping, menjadi delegasi ke Singapura, Indonesia, Beijing, China.
Beliau berkahwin dengan Aminah Bt. Yaakob, seorang guru dan memperoleh tiga orang anak; iaitu yang pertama Wan Khamizar, kini sebagai seorang Doktor Pakar Bedah di Hospital Besar Kangar, lulusan dari Universiti Belgium. Anak kedua, Wan Kharizal, kini sebagai Pegawai Eksekutif, bahagian Tenaga Manusia di CIMA, Chuping, Perlis. Beliau adalah lulusan Universiti di USA. Anak ketiga, Wan Khurifa Uti, masih menuntut di UiTM Shah Alam, Selangor.
Beliau mengakhiri karier hidupnya sebagai Pendakwah di Perlis sejak 1988 hingga sekarang. Beliau banyak membaca dan menghasilkan risalah dakwahnya dalam aspek Iman, Tauhid dan Ibadat.
Rujukan
...
Sumber Artikel
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil. 12 - 2000
