PADANG BANDARAN BANYAK BERJASA
Oleh : RAMLI ISMAIL
Apabila di sebut Padang Bandaran, pasti seluruh rakyat di negeri Perlis mengetahui tentangnya. Ia adalah sebuah padang yang menjadi tempat tumpuan rakyat daripada pelbagai pihak bagi menganjurkan segala bentuk aktiviti sejak zaman penjajah British lagi.


Suatu ketika dahulu, Padang Bandaran pernah dikenali dengan nama Padang Hospital. Ini adalah disebabkan kedudukan berhampiran Hospital Kangar. Di hadapan Padang Bandaran terletak Jalan Tun Razak. Jalan ini pula bersambung dengan Jalan Raja Syed Safi. Di sebelah kirinya ialah Pejabat Belia dan Sukan Negeri dan di hadapannya Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.
Menurut seorang ahli sejarah tempatan, Cikgu Haji Abdul Malek bin Haji Abdul Ghani, Padang Bandaran mula dibuka pada awal tahun 1930 -an. Ini adalah berdasarkan cerita Cikgu Hashim Abdul Rahman yang mula memperkenalkan permainan bola sepak kepada anak-anak muda negeri Perlis pada tahun 1929.
Selepas itu permainan bola sepak mula digemari oleh anak-anak muda di negeri Perlis. Pertandingan peringkat mukim sering diadakan di padang itu. Seorang pemain lama bola sepak di Perlis, Syed Abdan menceritakan bahawa pada tahun 1935, dia pernah bermain bola sepak di Padang Bandaran.
Pendek kata, Padang Bandaran ketika itu berperanan bagaikan sebuah stadium. Setiap petang ia menjadi tempat anak-anak muda berkumpul sambil menyaksikan pertan- dingan bola sepak yang diadakan di situ.
Semasa siri kejohanan bola sepak Piala Malaya atau lebih dikenali dengan panggilan "Malaya Cup" padang itulah menjadi medan mempertemukan pasukan Perlis dengan pasukan negeri-negeri lain di Semenanjung. Ia juga pernah menjadi gelanggang pertandingan bola sepak antara pasukan Perlis dengan pasukan-pasukan handal dari Thailand.
Jika ada pertandingan yang mengenakan bayaran tiket kepada para penonton, padang itu akan dipagari dengan kain putih seolah-olah seperti tembok dinding sebuah stadium. Namun, ramai juga penonton yang membolosi masuk ke dalam padang.
Menurut Cikgu Abdul Malik, sebelum meletus Peperangan Dunia Kedua, Padang Bandaran menjadi tempat diadakan Sambutan Ulangtahun Keputeraan Raja England, King George IV Murid-murid sekolah dari seluruh Perlis datang beramai-ramai menaiki lori untuk menjayakan sambutan. Kemuncak sambutan, mereka bersenam beramai-ramai di atas padang.
Semasa pemerintahan Jepun, padang itu juga turut memainkan peranan penting. Di situlah pemerintah tentera Jepun yang mengumpulkan anak-anak muda tempatan untuk diajar berkawat dan memberi hormat dengan menunduk kepala sambil mengadap ke arah Timur sebagai menghormati Maharaja mereka di Jepun. Kerajaan Jepun juga menggalakkan perkembangan seni dan budaya di negeri ini dengan tujuan untuk melalaikan penduduk Perlis supaya tidak terlalu memikirkan langkah untuk menentang pemerintahan Jepun.
Ketika itu, Padang Bandaranlah menjadi tempat pelbagai jenis kebudayaan Melayu negeri ini dipersembahkan. Permainan canggung yang merupakan kesenian asli negeri Perlis mula diperkenalkan kepada penonton umum di padang itu pada awal tahun 1940-an.
Apabila Jepun menyerah kalah sekitar tahun 1944, negeri Perlis sempat berada beberapa ketika di bawah pemerintahan Siam (Thailand). Cikgu Abdul Malik berkata, pada masa itu, Padang Bandaran menjadi gelanggang lumba kuda yang dianjurkan oleh pegawai- pegawai tentera Siam.
Satu catatan sejarah paling penting berlaku di Padang Bandaran ialah pada 4 Jun 1946 apabila kira-kira 5,000 orang Melayu dari seluruh negeri Perlis berkumpul beramai- ramai untuk bermesyuarat bagi menubuhkan Persatuan Melayu Negeri Perlis.
Hasil perjumpaan tersebut, para hadirin telah memilih seorang anak Melayu Perlis yang pertama mendapat kelulusan Universiti, Allahyarham Dato Syed Mahzar bin Syed Hussin menjadi yang DiPertua Persatuan Melayu Perlis. Syed Mahzar pernah menjadi Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan. Sementara seorang guru di Sekolah Arab Alawiyah Arau, Allahyarham Ustaz Salleh Osman pula dipilih menjadi Naib Yang DiPertua.
Beberapa bulan kemudian pada tahun yang sama, pengasas Umno, Allahyarham Dato' Onn bin Jaafar datang ke Perlis dan di padang itu jugalah orang-orang Melayu Perlis berkumpul hingga kemudiannya membawa kepada penubuhan UMNO di negeri ini.
Semasa diadakan pilihanraya umum di negeri Perlis, Padang Bandaran sering dipilih oleh para pemimpin parti-parti politik tempatan untuk dijadikan tempat berkempen. Ada yang membina pentas dan ada yang menggunakan lori sebagai pentas. Setiap kali diadakan kempen, sambutan amat menggalakkan kerana kedudukan padang itu di tengah-tengah bandar dan memudahkan kunjungan orang ramai.
Pada peringkat awal penubuhan Malaysia, negara ini berkonfrantasi dengan Indonesia dan menerima tentangan juga daripada pemerintah Filipina ketika itu. Sepanjang masa konfrantasi itu, Padang Bandaran sering dijadikan tempat rakyat Perlis berkumpul untuk mendengar syarahan daripada para pemimpin negeri dan negara menghentam ancaman daripada negara-negara terbabit.
Padang Bandaran juga sering dijadikan tempat pendaratan helikopter yang membawa para pesakit dari Perlis untuk mendapat rawatan kecemasan di luar Perlis ataupun pendaratan helikopter yang membawa pembesar negara melawat negeri ini.
Apabila Stadium Dato’ Syeikh Ahmad dibina berhampiran Padang Bandaran pada awal tahun 1960-an, peranan Padang Bandaran sebagai gelanggang pertandingan bola sepak peringkat negeri dan kebangsaan mula memainkan peranan tersebut. Bagaimanapun, jika ada pertandingan bola sepak antara kelab atau latihan-latihan, Padang Bandaran masih memainkan peranan sedemikian berterusan hingga sekarang.
Malah, setiap kali diadakan sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perlis, Padang Bandaran juga dijadikan tempat perhimpunan. Padang tersebut dipanggil Padang Bandaran kerana pengurusannya sekarang diletakkan kepada Majlis Perbandaran Kangar (MPK).
"Tidak akan masuk syurga orang yang suka menyampaikan berita-berita buruk kepada yang lain." Maksud al-Hadith
SUMBER ARTIKEL
Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 10, 1998
