PERANAN ALOR DALAM MASYARAKAT MELAYU DI PERLIS
Oleh: RAMLI ISMAIL
Alor atau anak sungai memainkan peranan yang amat penting dalam masyarakat Melayu di negeri Perlis suatu ketika dahulu. Pada masa dahulu hampir keseluruhan kawasan di negeri ini merupakan hutan. Hanya apabila dibuka Bandar Kangar dan pekan-pekan kecil lain, hutan semakin bertukar menjadi kampung dan sawah padi.
Peringkat awal pembukaan kampung, masyarakat Perlis memilih kawasan yang mempunyai alor sebagai tempat tinggal mereka. Di situlah tempat mereka hidup, berkahwin dan beranak cucu.
Sungai terbesar di negeri ini hanya Sungai Perlis. Di samping itu terdapat juga sungai-sungai kecil seperti Sungai Siran, Sungai Tasoh, Sungai Paya, Sungai Oran, Sungai Arau, Sungai Santan, Sungai Chuping dan beberapa batang sungai lain yang semuanya mengalir masuk ke Sungai Perlis.
Bagaimanapun daripada tebing sungai-sungai tersebut, terdapat banyak alor atau anak sungai. Alor selalunya bermula dari kawasan hulu atau bukit, terus ke tebing sungai-sungai berkenaan.

Salah satu alor yang terdapat di negeri Perlis
la mengalir berliku-liku mengikut keadaan tanah. Suatu ketika dahulu kebanyakan alor melalui kawasan hutan nipah, hutan bakau, kawasan pokok piai dan pokok-pokok mengkuang di samping pokok-pokok hutan lain.
Menurut seorang penduduk tua di Abi, Nopiah Samat, 68, penduduk asal Perlis atau mereka yang datang dari luar untuk membuka kampung di negeri ini memilih kawasan yang mempunyai alor sebagai kawasan penempatan mereka kerana alor banyak kegunaannya.
Kegunaan utama air dari alor tersebut ialah untuk pengairan kawasan pertanian, khususnya sawah padi. Semasa air dalam sawah berkurangan, air dari alor itulah digunakan untuk dialirkan masuk ke dalam sawah. Jika air dalam sawah terlalu banyak pula, alor juga digunakan untuk mengalir keluar air sawah terus ke sungai.
Justeru, sebelum kerajaan membina terusan seperti Sungai Muda (MADA) sekarang, memang alor memainkan peranan utama menghidupkan kerja-kerja pertanian di Perlis. Bukan
sahaja untuk tanaman padi, tetapi terdapat juga para petani menanam sayur-sayuran di tepi alor kerana mudah mendapatkan air untuk menyiram pokok-pokok sayur tersebut.
Di samping itu, alor juga menjadi tempat penduduk Perlis mendapatkan ikan untuk dibuat lauk. Pada masa dahulu banyak terdapat ikan air tawar seperti puyu, keli, haruan, sepat, ikan putih, lampam dan ikan selat dalam alor-alor tersebut. Malah ketam batu juga banyak membiak yang ketika itu amat digemari oleh penduduk tampatan.
Dengan begitu banyak sumber ikan tersebut, masyarakat Melayu zaman dahulu menggunakan pelbagai cara untuk menangkapnya. Ada yang menahan bubu atau lukah, ada yang menjala, ada yang menahan pukat dan ada juga yang memancing. Ketam pula ditangkap menggunakan tangkul.
Semasa musim kemarau atau lebih dikenali di Perlis dengan panggilan musim timur, penduduk Perlis menganjurkan pesta menangkap ikan dalam alor-alor tersebut. Mereka membina dinding tanah di dua bahagian alor menjadi kawasan antara dua dinding tersebut seperti kolam, lalu air di dalamnya ditimba keluar untuk mudah menangkap ikan-ikan yang terperangkap.
Ketika itu suasana begitu meriah sekali. Biar muka dan badan dipenuhi lumpur, tetapi semuanya riang, lebih-lebih lagi apabila banyak ikan dapat ditangkap.
Kalau ikan-ikan tersebut begitu banyak ditangkap hingga tidak termakan untuk masakan harian, ianya dijemur untuk dikeringkan. Ikan-ikan seperti haruan dan sepat, jika dikeringkan dan dibakar, lebih enak dimakan terutama bersama pulut kukus atau nasi lemak.
Di samping itu ada juga diantara kaum wanita yang pandai membuat pekasam. Selalunya ikan yang dibuat pekasam ialah ikan puyu, lampam dan sepat. Ikan haruan yang besar pula dibuat bantut dengan dimasukkan sambal kelapa ke dalam perutnya yang kemudian dibakar.
Semua jenis makanan yang dihasilkan daripada ikan-ikan yang ditangkap dari alor tersebut bukan sahaja dijadikan lauk untuk keperluan keluarga seharian, malah jika berlebihan ianya dijual sama ada di pasar atau dari rumah ke rumah. Diceritakan pada masa dahulu, orang putih yang tinggal di Perlis juga suka makan ikan darat yang kebanyakannya ditangkap di alor. Itulah antara peranan alor.
Sementara itu, seorang petani, Saadan Ismail, 57 dari Kampung Belanga Pudak ketika ditemui berkata, beliau amat terhutang budi kepada alor di samping bersyukur ke hadrat Allah
s.w.t. ini disebabkan dari panduan sebatang alorlah, telah membolehkannya terlepas dari satu malapetaka sesat dalam hutan nipah.

Alor ini pula dipenuhi dengan pokok kangkung liar
Selain bersawah padi, Saadan juga membuat kerja mengambil daun nipah untuk disemat menjadi atap dan pucuk nipah untuk dibuat rokok. Kerja-kerja masuk hutan nipah ini dilakukannya sejak usia remaja lagi. Dia mahu berdikari dan sering kali pergi seorang diri ke dalam hutan nipah milik orang tuanya.
Suatu hati, semasa asyik mencantas pucuk nipah, dia tersesat dan tidak tahu di mana jalan untuk keluar. Nasib baiklah dia berjumpa sebatang alor lalu diikutnya laluan alor tersebut hingga akhirnya sampai di pinggir sebuah kampung.
Walaupun bukan pintu masuk yang sering digunakannya setiap kali hendak masuk kedalam hutan nipah tersebut, beliau tetap bersyukur. Kalau tidak berjumpa dengan alor itu, mungkin dia terpaksa bermalam dalam hutan nipah. Baginya, alor cukup meninggalkan jasa.
Seorang penulis yang tidak asing di Perlis, Rejab Ismail dari Tanjong Gorah mengakui bahawa alor juga memberi makna dalam hidupnya. Dari alorlah dia belajar berenang dan menyelam. Katanya, ketika itu tidak ada kolam mandi atau kolam renang seperti sekarang, Justeru, alor dibelakang rumahnyalah tempat dia dan rakan-rakan menimba ilmu berenang dan menyelam.
Bukan sahaja Rejab, tetapi ramai lagi yang ditemui mengakui bahawa mereka belajar berenang dan menyelam dalam alor. Malah bagi Osman Chat, dari Bintong tidak dapat melupakan peristiwa bagaimana zaman kanak-kanaknya dahulu dia hampir lemas dalam alor apabila terjatuh dari titi buluh, dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumahnya.
Keseluruhannya mereka yang ditemui mengakui bahawa alor memang memainkan peranan yang cukup penting dalam hidupan harian masyarakat Perlis suatu ketika dahulu. Kegunaannya bukan sahaja kepada manusia dan tumbuh-tumbuhan, malah juga kepada binatang ternakan seperti itik yang dijadikan tempat bermain air dan binatang peliharaan seperti lembu dan kerbau, tempat mereka meminum air dan berkubang. Bagaimanapun semuanya itu kini hanya tinggal nostalgia.
